Projek LCS: Mahkamah arah Tan Ahmad Sri Ramli dirujuk pskiatri HKL

pemeriksaan mental

Ahmad Ramli ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. – Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI / KOSMO!

KUALA LUMPUR — Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengarahkan bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) Tan Sri Ahmad Ramli Mohd. Nor dirujuk ke bahagian psikiatri di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi pemeriksaan kesihatan mentalnya.

Dalam prosiding sebutan kes berhubung perkara itu, Hakim Suzana Hussin berkata, Ahmad Ramli, 80, perlu membuat pemeriksaan untuk mendapatkan laporan daripada pakar psikiatri keadaan mentalnya.

Kata Hakim Suzana ia bagi memastikan sama ada tertuduh sesuai dibicarakan atau tidak bagi tiga pertuduhan pecah amanah dana syarikat itu berjumlah RM21.08 juta berkaitan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) bagi perolehan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Mahkamah menetapkan sebutan kes itu untuk makluman mengenai laporan daripada pakar psikiatri pada 28 Oktober ini manakala tarikh perbicaraan pada 26 hingga 28 Ogos dilapangkan,” katanya.

Semasa prosiding itu pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim dan Mahadi Abdul Jumaat, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden.

Sebelum ini, pada 30 Julai lalu, Hakim Suzana menetapkan hari ini untuk mahkamah membuat arahan berhubung keadaan mental terkini bagi memastikan sama ada bekas Panglima TLDM itu sesuai dibicarakan atau tidak dan Ahmad Ramli perlu hadir ke mahkamah untuk diberikan arahan lanjut berkenaan kesihatan mentalnya.

Pada 16 Ogos 2022, Ahmad Ramli sebagai Pengarah Urusan BNS yang diamanahkan dengan penguasaan dana syarikat didakwa melakukan pecah amanah terhadap harta terbabit dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM13,541,140 ke akaun Syarikat Setaria Holding Limited, Standard Chartered Bank, 6 Battery RD, Singapura tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS di tingkat 17, Menara Boustead, Jalan Raja Chulan antara 26 Julai 2010 hingga 25 Mac 2011.

Beliau juga didakwa melakukan pecah amanah dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM1,360,716 ke akaun Syarikat JSD Corporation, The Overseas-Chinese Banking Corporation Limited, Chulia Street, OCBC Centre, Singapura tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS di lokasi sama antara 19 April 2011 dan 4 Mei 2011.

Bagi pertuduhan ketiga, Ahmad Ramli berdepan dakwaan meluluskan pembayaran berjumlah RM6,182,295 ke akaun Syarikat Sousmarin Armada Ltd, Standard Chartered Bank, 6 Battery Road, Singapura di tempat sama antara 28 Okt 2010 dan 22 Nov 2010.

Ketiga-tiga pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, hukuman sebat tidak boleh dikenakan terhadap pesalah perempuan dan lelaki yang berusia lebih 50 tahun. – Iteenews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *