Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bersalaman dengan Presiden China Xi Jinping di Great Hall Of The People, Beijing, Sept 2024 – (Gambar arkib)
Oleh Wong Chun Wai
KUALA LUMPUR, 13 April (Iteenews)– Lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia minggu depan pasti akan menjadi kunjungan ketua negara asing paling berprofil tinggi ke negara ini, sekali gus mencatat sejarah penting dalam hubungan dua hala.
Lawatan beliau dari 15 hingga 17 April ini dianggap amat tepat pada masanya, selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, blok serantau yang dianggotai oleh 10 negara, dengan pelbagai siri mesyuarat dijadualkan berlangsung sepanjang tahun ini.
Persinggahan pemimpin China di Malaysia, selain ke Kemboja dan Vietnam, dijangka menyuntik semangat baharu kepada ASEAN kerana ia menggambarkan betapapentingnya kumpulan serantau tersebut.
China kekal sebagai rakan dagang terbesar ASEAN sejak 2009, dengan jumlah perdagangan yang meningkat lebih dua kali ganda sejak 2010.
Bagi Malaysia, lawatan Presiden Xi merupakan kesinambungan kukuh kepada sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China yang diraikan tahun lepas,sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam sejarah persahabatan dua hala.
Malah, hubungan antara China dan dunia Melayu telah terjalin sejak sekian lama, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pertukaran budaya yang bermula sejak abad ke-13 melalui Kesultanan Melaka.
Kerajaan Dinasti Ming juga pernah menghantar Laksamana Zheng Heke Melaka sekurang-kurangnya lima kali sebagai sebahagian daripada misi diplomatik dan pelayaran beliau di rantau ini.
Selat Melaka merupakan laluan maritim yang amat penting bagi China, memandangkan Melaka ketika itu memainkan peranan besar dalam merancakkan perdagangan serantau. Hingga hari ini, ia kekal sebagai laluan strategik utama.