Pempengaruh dibebaskan, kertas siasatan dirujuk ke TPR esok

polis logo polis

Gambar hiasan

TELUK INTAN – Seorang pempengaruh yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan lagu Negaraku dinyanyikan bukan dalam bahasa Kebangsaan, dibebaskan dengan jaminan polis sebentar tadi.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr. Bakri Zainal berkata, wanita berusia lingkungan 40-an itu dibebaskan setelah keterangannya berkaitan isu berkenaan selesai direkodkan.

Katanya, kertas siasatan kes tersebut akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan dan tindakan lanjut.

“Sekitar pukul 12 tengah hari tadi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak telah menahan wanita itu di pekarangan IPD Petaling Jaya, Selangor.

“Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis pada malam ini selepas siasatan dijalankan,”katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Media sebelum ini melaporkan, tiga laporan polis diterima berhubung penularan video mengelirukan masyarakat yang mendakwa lagu Negaraku dinyanyikan bukan dalam bahasa Kebangsaan pada satu acara di sebuah sekolah di daerah Hilir Perak.

Menurut Bakri, video tular itu sebenarnya dirakam semasa majlis pelancaran kelab tarian naga di sekolah tersebut pada 6 Jun 2024.

“Lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan pelajar ketika majlis berlangsung juga bukannya lagu Negaraku sebaliknya lagu Allah Lanjutkan Usia Sultan yang merupakan lagu kebesaran negeri Perak,”katanya. – https://amiminerals.org/