Basikal atasi rasa sunyi lepas isteri meninggal dunia

kuala berang

Taib ditemui bersiar-siar dengan berbasikal di pekan Kuala Berang, Hulu Terengganu semalam.

HULU TERENGGANU – Seorang lelaki warga emas berusia 80 tahun yang hidup sebatang kara menghabiskan sisa-sisa usianya dengan berkayuh basikal di sekitar pekan Kuala Berang, di sini hampir setiap hari.

Taib Ismail mengayuh basikal sejauh kira-kira lapan kilometer dari rumahnya di Bukit Ara, Ajil, di sini ke pekan Kuala Berang.

Jadual hariannya mengayuh basikal semakin padat apabila dia mengambil kesempatan Aidilfitri mengunjungi saudara-maranya di sekitar daerah ini.

Taib berkata, dia akan me­ngayuh basikal hampir setiap hari walaupun pada bulan Ramadan bagi mengisi kesepian sejak kematian isteri tersayang kira-kira 20 tahun lalu.

“Perkahwinan saya dan isteri tidak diberikan rezeki zuriat, lagipun kami bernikah pada usia agak lewat.

“Bagi mengisi kebosanan bersendirian di dalam rumah, saya akan mengayuh basikal selagi kudrat masih berdaya,” katanya ketika ditemui di pekan Kuala Berang, di sini semalam.

Taib berkata, dia memilih mengayuh basikal kerana ia satu-satunya medium pengangkutan yang dimiliki.

Tambahnya, dia juga tidak mahir menunggang motosikal apatah lagi memandu kereta sejak muda.

“Jika bukan bulan puasa, bia­sanya akan menghabiskan masa waktu siang berkunjung ke kedai makan milik seorang ahli saudara jauh dengan menaiki basikal.

“Sambil-sambil itu saya membantu dia melakukan tugas-tugas ringan seperti mengangkat pinggan pelanggan. Alhamdulillah selain diberi makan percuma, saya juga kerap diberi sedikit upah.

“Saya mahu menghabiskan sisa hidup ini secara santai. Alhamdulillah saya menerima bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.