PETALING JAYA – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki hari ini menzahirkan kebimbangan terhadap budaya buli yang masih berlaku di Institusi Pendidikan Mara (IPMa), khususnya Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Selain itu, katanya, kecenderungan segelintir pelajar yang dilihat mempersendakan mangsa atau pelapor kes buli dengan gelaran seperti ‘jibam’, ‘mat report’ dan ‘baruw’ hanya akan menyuburkan budaya bisu dan ketakutan, sekali gus membiarkan pembuli terus bebas melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan.
“Jangan risau dilabel ‘jibam’, ‘mat report’, ‘baruw’ dan sebagainya. Jangan sesekali membiarkan diri mahupun taulan dibuli dalam apa jua bentuk,” tegasnya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.
Asyraf Wajdi turut menegaskan bahawa sepanjang dua tahun menerajui Mara, beliau memanfaatkan sepenuhnya ruang media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan X untuk mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak bagi menambah baik institusi di bawah naungan Mara.
“Bila saya mula #Terjah ke institusi-institusi pendidikan Mara, semuanya berdasarkan aduan dan maklum balas ibu bapa, pelajar dan pendidik,” katanya.
Katanya, hasil inisiatif tersebut telah berjaya menyelesaikan pelbagai isu termasuk kartel makanan, kualiti dewan selera, tandas, asrama dan fasiliti lain.
Beliau menyeru semua pelajar agar tidak gentar untuk tampil membuat laporan jika berlaku sebarang insiden buli, dan berjanji akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba melindungi pembuli.
“Jika saya tahu ada pihak yang cuba tutup atau pertahankan pembuli mahupun kes buli, tindakan amat tegas akan diambil termasuk ke atas pengetua, pengarah, warden, guru atau sesiapa sahaja,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa budaya buli tidak mempunyai tempat dalam mana-mana institusi di bawah IPMa dan Mara akan terus komited membanteras perbuatan tersebut demi kesejahteraan pelajar.
“Tiada tempat untuk pembuli mahupun sebarang bentuk budaya buli di IPMa termasuk MRSM,” katanya. – https://amiminerals.org/