PETALING JAYA – Satu pendedahan mengejutkan mengenai keadaan sebuah rumah kebajikan di Cheras, Selangor mengundang kemarahan orang ramai selepas tersebarnya video menunjukkan penghuni-penghuninya dikurung dalam sebuah bilik berkunci seakan-akan haiwan dalam sangkar.
Rumah kebajikan yang menempatkan lebih 10 orang kanak-kanak itu didakwa mengenakan kawalan ketat tanpa justifikasi jelas, termasuk membiarkan penghuni terkurung dalam ruang yang sempit.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik penyanyi rap, Caprice di Instagramnya semalam, memaparkan sisi gelap rumah kebajikan terbabit apabila sebelum ini beberapa individu telah berkunjung ke sana bagi mengagihkan bantuan kepada penghuni.
Individu di dalam video tersebut mendakwa pada awalnya, mereka tidak dibenarkan untuk berjumpa dengan anak-anak yang tinggal di sana.
“Sampai sahaja di sana (rumah kebajikan) hanya separuh daripada anak-anak yang turun untuk menyambut kami. Lebih pelik kami diberitahu tidak dibenarkan memberi hadiah atau makanan kepada mereka. Tapi pada asasnya dia (pemilik) nak kami tinggalkan barang dan balik.
“Kami tak puas hati dan minta untuk duduk sekejap dan cakap dengan anak-anak di sana. Mereka (anak-anak) beritahu kami ramai lagi kawan-kawan mereka ‘terkunci’ dalam bilik. Bila kami naik atas, betul ada yang dikunci macam haiwan,” dakwanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Azmir Kassim mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima aduan berhubung kejadian di rumah kebajikan tersebut.
“Untuk makluman JKM ada terima aduan tersebut. Pegawai JKM turun semalam dan laporan siasatan dan pemantauan sedang disediakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Azmir, rumah kebajikan berkenaan merupakan sebuah pusat pertubuhan bukan kerajaan berkediaman dan berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993. – https://amiminerals.org/
View this post on Instagram