Gas, udara, percikan api pencetus letupan salur gas

WhatsApp Image 2025 04 02 at 17.43.28 0054e6a4

Keadaan di kawasan perumahan Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya akibat kebakaran saluran gas. – Foto oleh AMIR KHALID

SUBANG JAYA – Polis mengesahkan tiga elemen utama iaitu gas, udara dan percikan api dikenal pasti sebagai faktor yang berpotensi mencetuskan letupan saluran paip gas di Putra Heights, Selasa lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, elemen itu dikenal pasti oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi menentukan kewujudannya ketika kejadian.

Beliau berkata, saluran gas itu bertekanan tinggi dan berusia lebih 30 tahun, dibina sejak 1991 sebagai sebahagian rangkaian bekalan gas di negara ini.

“Keadaan tanah yang tidak stabil menyukarkan siasatan penuh. Kerja penstabilan perlu dilakukan sebelum siasatan dapat diselesaikan,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Tambahnya, pihak Petronas memaklumkan mereka tidak menerima sebarang isyarat kebocoran daripada sistem pemantauan ketika kejadian berlaku.

“Kalau ikutkan, sekiranya berlaku kebocoran, Petronas boleh mengesannya di pusat kawalan mereka kerana dilengkapi sistem pengimbas dan pemantauan tekanan.

“Justeru, kita masih menyiasat sama ada benar-benar berlaku kebocoran atau sebaliknya. Semua ini hanya akan diketahui selepas kerja menggali dijalankan,” ujarnya.

Pihak berkuasa menjangkakan laporan awal siasatan dapat dikeluarkan dalam tempoh dua minggu bergantung kepada faktor cuaca dan keadaan tanah di lokasi. – https://amiminerals.org/