PETALING JAYA – Kementerian Digital akan memberi bantuan sebanyak 100 unit komputer riba, 100 unit tablet, 100 unit telefon pintar dan 500 unit bank kuasa (power bank) kepada mangsa yang terjejas dalam kejadian letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada Selasa lalu.
Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, ketika lawatan beliau ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights pagi tadi, dia dimaklumkan bahawa peranti digital mangsa telah hilang atau rosak dalam kejadian tersebut.
“Oleh itu, Kementerian Digital akan menyediakan 100 unit komputer riba, 100 unit tablet, 100 unit telefon pintar dan 500 unit bank kuasa (power bank) kepada mangsa yang memerlukan peranti sedemikian,”katanya menerusi kenyataan hari ini.
Jelas beliau, permohonan untuk peranti ini boleh dibuat bermula hari ini melalui pusat khidmat ADUN Kota Kemuning, S. Preakas.
Katanya, MyDigital Corporation, sebuah agensi di bawah Kementerian Digital, juga akan bekerjasama dengan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) dan Pejabat Menteri Besar Selangor untuk menyediakan platform dalam talian bagi memastikan mangsa mendapat maklumat yang jelas dan kemas kini tepat.
“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus untuk membantu mereka yang terjejas dalam kejadian ini.
“Kementerian Digital dan agensi-agensinya akan terus bekerjasama dengan mangsa dalam kejadian ini. Kami berharap agar mereka yang cedera akan sembuh segera dan mereka yang mengalami kerugian akan menerima bantuan yang diperlukan untuk membantu mereka mengharungi masa yang sukar ini,”tambahnya. – https://amiminerals.org/