SINGAPURA – Seorang warga Singapura menyeru pemilik kereta yang membungkus bendera negaranya pada cermin sisi kenderaan untuk tidak berbuat demikian, lapor portal berita asiaone kelmarin.
Berkongsi gambar kereta dengan cermin sisi dibalut bendera negara itu pada 7 Ogos lalu, seorang lelaki dikenali sebagai Francis berkata, terdapat niat lain apabila mereka menggunakan bendera Singapura untuk membalut cermin sisi kereta.
“Apabila penggunaan bendera yang usang dan kotor seperti dalam gambar, untuk membalut cermin sisi kereta anda, niat anda sebenarnya bukan untuk patriotik tetapi untuk melindungi cermin sisi kereta anda daripada calar.
“Pemandu kenderaan boleh membalut cermin sisi kereta mereka bila-bila masa dengan label lain untuk melindungi cermin sisi mereka, tetapi mengapa memilih bendera Singapura atas alasan Hari Kebangsaan?
“Menggunakan bendera negara untuk membalut cermin sisi yang bertujuan untuk dikotorkan adalah tidak sopan.
“Imej bendera negara tidak boleh digunakan pada aksesori yang bertujuan untuk dikotorkan seperti cermin sisi kereta,” katanya. – AGENSI