Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada Program Hari Terbuka Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Peringkat Negeri Kelantan 2024 di Kampung Kala Star Gua Musang.
GUA MUSANG, 15 Ogos (Iteenews) — Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri diyakini tidak akan mudah terpengaruh dengan isu nasional dibawa Perikatan Nasional (PN) ketika berkempen di kawasan itu.
Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jentera BN bekerja bersungguh-sungguh sepanjang tempoh kempen bagi menjelaskan isu-isu yang dibangkitkan, danjuga mencari jalan penyelesaian kepada isu-isu tempatan yang timbul di seluruh 20 pusat daerah mengundi di DUN itu.
“Pengundi di Nenggiri amat bijak, isu-isu nasional yang dimainkan mereka (PN) tidak pun terlekat dalam pemikiran dan hati mereka.
“Isu Nenggiri mereka telah ketahui lama dan tidak ada jawapan untuk penyelesaian…rakyat khususnya di Nenggiri dapat menilai kemampuan bukan sahaja calon itu tetapi juga pentadbiran yang dilakukan peringkat negeri yang tidak dapat diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas sama ada isu air, balak dan tanah akan mempengaruhi pengundi di Nenggiri selepas menghadiri Program Hari Terbuka RISDA peringkat Negeri Kelantan Tahun 2024 di Kampung Kala Star, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah PRK BN bagi DUN Nenggiri Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub.
PRK itu yang ditetapkan hari mengundi Sabtu ini, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili BN dan calon PASMohd Rizwadi Ismail mewakili PN.
Mengenai perjalanan kempen yang berbaki kurang 48 jam lagi, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berpuas hati dengan gerak kerja calon dan jentera, yang telah bersungguh-sungguh bertemu pengundi dan menjelaskan isu-isu dibangkitkan PNdan rakyat.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dan Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) dan seluruh jawatankuasa jentera parti, yang bekerja keras untuk memenangkan calon kita.