kredit: FB Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz
Oleh Kenny Teng Khoon Hock
BANGKOK, 15 Ogos(Iteenews) –Malaysia akan menekankan perdagangan intra-ASEAN sebagai hala tuju ke hadapan bagi rantau Asia Tenggara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.
Beliau berkata Malaysia adalah sebuah negara ekonomi terbuka dan menerima perdagangan dan pelaburansama seperti negara-negara ASEAN yang lain.
“Pada masa ini, perdagangan antara negara-negara ASEAN adalah kira-kira 23-25 peratus, jadi ada peluang untuk meningkatkan jumlah dagangan terutamanya apabila Malaysia mengambil alih jawatan pengerusi pada 2025,” kata Tengku Zafrul kepada Iteenews di sini, Khamis.
Terdahulu, Menteri itu mempengerusikan mesyuarat meja bulat dengan kapten-kaptenIndustri termasuk wakil daripada PTT Public Company Limited (PCL), CP Axtra PCL dan BASF (Thai) Ltd.
Tengku Zafrul mengetuai misi perdagangan tiga hari Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ke ibu negara Thailand yang turut disertai Timbalan Ketua Pegawai EksekutifPerbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Abu Bakar Yusof; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Zalina Zainoldan Pengarah Kanan Bahagian Integrasi Ekonomi ASEANMITI, Dr S. Sugumari.
Tengku Zafrul berkata Malaysia dan Thailand mendapat manfaat yang besar daripada keahlian mereka dalam ASEAN, yang menggalakkan integrasi ekonomi serantau dengan mengurangkan tarif dan mengharmonikan peraturan perdagangan.
Beliau menambah inisiatif dua hala Malaysia-Thailand yang sedang dijalankan bertujuan untuk meningkatkan perdagangan sempadan, mengembangkan perkongsian ekonomi digital dan mengukuhkan kerjasama dalam sektor utama seperti pertanian dan getah.
"Malaysia mengalu-alukan dan sangat menggalakkan sektor swasta dan pemain industri untuk menyokong inisiatif itu dengan memupuk kerjasama dan memanfaatkan kekuatan satu sama lain bagi mengembangkan perniagaan melangkaui ASEAN, hingga ke pasaran global," katanya.