Seleweng dana awam: Siasatan babit pasangan pempengaruh di peringkat akhir

SPRM

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Siasatan kes penyelewengan dana derma awam berjumlah RM3 juta membabitkan pasangan pempengaruh dan dua lagi individu kini berada di peringkat akhir.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan sudah dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan selanjutnya.

“Kertas siasatan sudah hampir selesai dan jika tidak silap saya. Pegawai penyiasat sudah merujuknya kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk kaji kes berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan program Inisiatif Pencegahan Rasuah Melalui Pemerkasaan Amalan Perakaunan dan Pengauditan, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan pasangan pempengaruh ditahan reman oleh SPRM bagi siasatan kes penyelewengan dana derma awam, disyaki sudah melakukan perbuatan itu sejak 2020.

Siasatan mendapati kutipan derma terbabit mencecah kira-kira RM3 juta dan diseleweng apabila tidak disalurkan dengan cara yang betul.

Pada masa sama, dua lagi suspek turut ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes sama.

Sebelum ini, pempengaruh terbabit menerusi peguamnya menafikan semua dakwaan penyelewengan dan pecah amanah membabitkan dirinya seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Pasangan suami isteri itu turut menegaskan, dia dan suami tidak pernah menggunakan wang itu untuk tujuan peribadi. -Iteenews.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *