Populasi Penyu Agar Kian Terancam, Kesan Domino Tingkat Kadar Kematian Penyu Jantan

KUALA TERENGGANU, 26 Mac (Iteenews) — Sebanyak 20 kes kematian penyu spesies agar direkodkan Jabatan Perikanan Terengganu antara Januari hingga Mac tahun ini, sekali gus menunjukkan situasi ituberada pada tahap sangat membimbangkan.

Pengurus Projek Pemuliharaan Penyu di Pantai Chakar Hutan, Kemaman dari Persatuan Pemuliharaan dan Kajian Marin Malaysia (PULIHARA) Wan Zuriana Wan Sulaiman berkata tiga bangkai penyu agar jantan dijumpai terdampar di pesisiran pantai berkenaan dalam tempoh kurang 31 jam, dan seekor daripada penyu itu mempunyai kesan luka dipercayai tersangkut pada pukat pari milik nelayan.

Beliau berkata kekurangan penyu jantan tidak boleh dipandang enteng kerana ia antara faktor utama ancaman kepada kelangsungan populasi penyu.

“Keadaan ini akan menyebabkan proses persenyawaan rendah dalam kalangan penyu betina dan tanpa proses itu, penyu betina yang memiliki telur matang tetap akan naik ke darat untuk bertelur, namun hanya menghasilkan telur yang tiada perkembangan untuk menetas ataupun dikenali sebagaiundeveloped eggs.

“Inilah yang berlaku pada penyu belimbing di Rantau Abang, Dungun yang diisytiharkan pupus secara fungsi pada 2008. Ketiadaan penyu belimbing jantan yang subur atau matang pulang ke lokaliti asal mereka untuk proses mengawan telah menjejaskan proses persenyawaan telur penyu belimbing betina,” katanya kepada Iteenews baru-baru ini.

Wan Zuriana berkata masih ada penyu belimbing di tempat lain tetapi penyu itu hanya akan kembali ke tempat mereka dilepaskan ke laut suatu masa dahulu, manakala penyu dari kawasan lain tidak akan datang ke Rantau Abang kerana bukan lokaliti mereka.

Beliau berkata tatkala pelbagai usaha konservasi dilakukan bagi memastikan kelangsungan populasi penyu spesies agar, namun situasi sebaliknya pula yang berlaku apabila angka kematian menunjukkan peningkatan, dengan sembilan kes direkodkan pada Mac berbanding lima (Februari) dan enam (Januari).

“Situasi kali ini jauh berbeza pada tahun sebelumnya yang hanya mencatatkan lima kematian reptilia itu bagi tempoh lima bulan, sekali gus bagaikan memberi satu ‘isyarat jelas’ bahawa populasi penyu agar kian terancam, apatah lagi kebanyakan yang mati itu penyu jantan.

“Tambah membimbangkan, cuaca panas yang dialami di seluruh negara ketika ini turut memberi impak kepada kemandirian penyu apabila mengakibatkan penghasilan induk jantan yang rendah setelah persenyawaan berlaku melalui telur yang ditetaskan di kebanyakan pusat konservasi hidupan marin itu,” katanya.