Lelaki lebih berisiko mati akibat kanser

AS Kanser

Hiasan dinding bertulis \’Kanser boleh dirawat jika dikesan awal\’ dihasilkan di sebuah klinik di Caracas, Venezuela pada 24 Mac 2023. – AFP

WASHINGTON – Kes kanser dan kematian berkaitan penyakit itu dalam kalangan lelaki dijangka meningkat menjelang 2050, demikian menurut satu kajian seperti laporan saluran berita CNN kelmarin.

Menurut kajian dalam jurnal Cancer, peningkatan besar itu berlaku ke atas kumpulan lelaki berumur 65 tahun ke atas.

Kumpulan penyelidik dari Australia melakukan kajian tersebut dengan menganalisis kes dan kematian melibatkan 30 jenis kanser di 185 buah negara dan wilayah pada 2022.

Hasilnya mendapati, jumlah kes kanser dalam kalangan lelaki diramal meningkat daripada 10.3 juta pada 2022 kepada 19 juta pada 2050, iaitu pertambahan sebanyak 84 peratus. 

Kematian akibat kanser pula diunjurkan meningkat sebanyak 93 peratus iaitu daripada 5.4 juta pada 2022 kepada 10.5 juta pada 2050. 

Bagi lelaki berumur 65 tahun ke atas pula, kematian diramal meningkat sebanyak 117 peratus.

Negara berpendapatan rendah dan yang mempunyai jangka hayat pendek diramal menyaksikan peningkatan lebih besar dalam kematian akibat kanser dalam kalangan lelaki. 

“Jumlah kes kejadian dan kematian diunjurkan meningkat 2.5 kali ganda di Afrika dan Mediterranean Timur antara 2022 dan 2050,” kata hasil kajian itu. 

Menurut penyelidik, kaum lelaki lebih cenderung daripada wanita untuk meninggal dunia akibat kanser disebabkan tabiat merokok dan minum alkohol, tingkah laku yang mendorong penyakit itu dan lebih terdedah kepada karsinogen di tempat kerja. 

Sementara itu, jenis kanser dengan unjuran peningkatan tertinggi bagi lelaki ialah mesothelioma untuk bilangan kes dan kanser prostat bagi penyebab kematian. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *