BNM Denda Maybank RM4.32 Juta, CIMB RM760,000 Berikutan Gangguan Perkhidmatan Berpanjangan

d0bdea43d4c92fe040c99bf69ff392fc5e7433106e841

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Iteenews)–Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (AMP) sebanyak RM4.32 juta ke atas Malayan Banking Bhd dan Maybank Islamic Bhd sertaRM760,000 ke atas CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd susulangangguanbeberapa perkhidmatan perbankan yang berpanjangan.

Dalam penyata berasingan, bank pusat itu melaporkan bahawa Maybank membayar penalti penuh untuk AMP yang dikenakan pada 8 Ogos, manakala CIMB menjelaskan penaltinya pada 12 Ogos 2024.

“AMP itu dikenakan kerana ketidakpatuhan perenggan 48(1)(a) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan perenggan 58(1)(a) Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA), bersama-sama dengan perenggan 10.32 Dokumen DasarPengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT)," kata BNM.

Di bawah perenggan 10.32 Dokumen Dasar RMiT, institusi kewangan perlu memastikan sistem kritikal yang relevan direka bentuk dengan tahap ketersediaan yang tinggi.

Khususnya,masa terhenti tidak terancang yang mempengaruhi antara muka (interface) pengguna secara terkumpul hendaklah tidak melebihi empat jam dalam tempoh 12 bulan, dengan masa terhenti maksimum yang boleh diterimaselama 120 minit bagi setiap kejadian, katanya.

Antara 1 Jun 2023 hingga 31 Mei 2024, aplikasi Regional Mobile Bank Platform (RMBP) dan MAE Maybank mengalami beberapa kali masa terhenti tidak dirancang yang menyebabkan gangguan berpanjangan terhadap beberapa antara muka perkhidmatan perbankan dengan pelanggan.

BNM juga menyatakan bahawa pelanggan CIMB menghadapi gangguan perkhidmatan yang berpanjangan pada 8 – 9 April 2024, yang menjejaskan saluran e-perbankan, ATM, dan kedua-dua perkhidmatan kad debit dan kredit. Gangguan ini melebihi paras ambang yang ditetapkan oleh BNM.

Sebagai tindak balas, CIMB mengakui keputusan bank pusat itu dan menyatakan kekesalan terhadap masa henti yang tidak dirancang, yang memberi kesan kepada pelanggan dan rakan niaganya pada tarikh tersebut.

"Meskipun bank, bersama-sama pihak ketiganya, telah mengambil tindakan pemulihan yang sewajarnya bagi memastikan masa henti diminimumkan, insiden itu menjejaskan urus niaga perbankan pelanggan kami, dan kami mengakui bahawa kami perlu berusaha untuk melakukan yang lebih baik," katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *