Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 12 Mac (Iteenews) — Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu berikutan pelabur berhati-hati sebelum data inflasi AS dikeluarkan lewat malam ini dan dalam keadaan perang perdagangan global yang semakin meningkat.
Pada 6 petang, ringgit turun kepada 4.4260/4300 berbanding dolar AS daripada 4.4100/4175 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran bimbang mengenai perang perdagangan yang semakin meningkat, yang menjejaskan sentimen risiko.
“Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang akan dikeluarkan malam ini agak penting dan boleh menentukan hala tuju kadar faedah AS tahun ini,” katanya kepada Iteenews.
Beliau berkata Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin mahu mengurangkan lagi kadar dasarnya untuk mengatasi kemungkinan kemelesetan ekonomi AS.
“Selain itu, pasaran ekuiti serantau, serta FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), telah mencatatkan penurunan hampir 10 peratus setakat ini bagi tahun ini, menandakan keadaanenggan ambil risiko masih wujud,” katanya.
Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit mengalami tekanan hari ini dipengaruhi oleh kebimbangan mengenai perang perdagangan, kenaikan hasil AS dan IHP AS.
Beliau berkata pasaran pula bersedia terhadap pengumuman data inflasi yang baik, yang boleh mendorong hasil lebih tinggi.