Wanita curi ‘chicken wing’ dipenjara 9 tahun

curi kepak ayam

Liddell mencuri kepak ayam bernilai lebih AS$1.5 juta (RM6.67 juta). – Pejabat Peguam Negara Daerah Cook/Getty Images

CHICAGO, ILLINOIS – Seorang kakitangan sekolah di negeri Illinois dijatuhi hukuman penjara hampir sedekad kerana mencuri kepak ayam bernilai lebih AS$1.5 juta (RM6.67 juta), lapor akhbar Metro UK semalam.

Vera Liddell, 68, mengaku bersalah kerana memesan lebih 11,000 bungkusan kepak ayam dalam tempoh setahun daripada pembekal yang ditetapkan dan mengambilnya dalam van kargo daerah.

Liddell ketika itu merupakan pengarah perkhidmatan makanan di Sekolah Daerah Harvey.

Makanan tersebut sepatutnya dibawa pulang oleh pelajar ketika mereka menghadiri kelas secara online semasa pandemik koronavirus, demikian menurut pendakwa raya daerah Cook di Illinois.

Namun, pelajar-pelajar tersebut tidak menerima sebarang kepak ayam dalam tempoh itu.

Liddell memulakan kegiatannya itu pada Julai 2020 dan meneruskannya hingga Februari 2022, kata Pejabat Peguam Negeri Daerah Cook.

Kegiatannya bagaimanapun berjaya dihidu apabila laporan audit mendapati kos makanan adalah AS$300,000 (RM1.3 juta) melebihi bajet dengan berbaki beberapa bulan lagi dalam tahun persekolahan.

Liddell didakwa mencuri dan mengendalikan perusahaan jenayah pada Januari tahun lalu serta dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun. – AGENSI 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *