Lagi serangan pisau gemparkan UK

suspek tikam

Polis berkawal di Leicester Square selepas serangan berlaku. – LNP

LONDON – Seorang lelaki ditahan selepas menikam seorang wanita dan anaknya yang berusia 11 tahun dalam serangan pisau di Leicester Square, London, lapor akhbar The Sun UK semalam.

Suspek yang dibawa dalam keadaan bergari oleh dua anggota polis, pada awalnya ditahan oleh seorang pengawal keselamatan.

Dia diberkas sejurus selepas seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dan ibunya, 34, ditikam di Leicester Square semasa waktu sibuk kira-kira pukul 11.34 pagi (waktu tempatan).

Kedua-dua mangsa tidak mengenali suspek manakala polis berkata, serangan itu tidak dianggap sebagai kes keganasan setakat ini.

Seorang saksi  memberitahu akhbar The Sun UK bahawa suspek dilihat mundar-mandir di kawasan tumpuan pelancong itu beberapa jam sebelum dia melancarkan serangan.

“Saya mendengar jeritan kanak-kanak dan kemudian pekerja keselamatan di kedai teh keluar dan bergelut dengan penyerang,” kata saksi berkenaan, Abu Tauhid, 35.

Menurut polis Metropolitan London, budak perempuan  itu masih dirawat di hospital, namun kecederaan yang dialami tidak mengancam nyawa, manakala ibunya hanya cedera ringan.

Pengawal keselamatan yang bertarung dengan suspek, Abdullah, 29, berkata, dia melompat dan merampas pisau lelaki tersebut.

“Kemudian beberapa orang lagi turut serta, dan kami menahannya sehingga polis datang,” ujar Abdullah. – AGENSI

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *