Oleh Mohd Noor Iqram Rosli
KOTA BHARU, 8 Mac (Iteenews) — Agrobank, peneraju dalam pembiayaan pertanian dan perbankan berasaskan perantaraan nilai di negara ini, terus memperkasakan penggunaan teknologi bioflok dalam sektor akuakultur dengan penglibatan pelajar Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Menerusi program 'Aquaculture Aspire Agrobank' yang diperkenalkan tahun lepas, sebanyak 10 sekolah di Semenanjung Malaysia menerima sumbangan set teknologi bioflok dengan anggaran kos antara RM14,000 hingga RM15,000, bergantung kepada keperluan tambahan seperti sistem teknologi Internet Kebendaan (IoT) Sistem Pemantauan Tekanan Udara.
Sekolah yang terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kukup, Pontian (Johor); SMK Sri Perpatih, Gemas (Negeri Sembilan); SMK Nyalas, Jasin (Melaka); SMK Jalan Kebun, Shah Alam (Selangor); Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Kuantan (Pahang); SMK Meranti, Pasir Mas (Kelantan); SMK Renek, Jerteh (Terengganu); Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Merbok (Kedah); SMK Sultan Abdul Aziz, Teluk Intan (Perak); dan SMK Syed Ahmad, Kangar (Perlis).
Pengetua SMK MerantiMohammad Razuki Derahmanberkata program ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar PPKI untuk menimba ilmu, malah memberikan pengalaman berharga dalam menguruskan ekosistem akuakultur.
"Projek ini sangat bermanfaat kerana pelajar dapat terlibat secara langsung dalam penyelenggaraan sistem akuakultur, termasuk memberi makanan kepada ikan, memantau kualiti air, kadar oksigen, suhu, serta menjaga persekitaran yang sesuai untuk pembiakan dan pertumbuhan organisma akuatik.
"Selain itu, teknologi ini juga dapat mengurangkan penggunaan air dalam sistem ternakan serta meningkatkan kualiti air bagi pembiakan ikan tilapia," katanya kepada Iteenews baru-baru ini.
Menurutnyapelajar berasa teruja kerana berpeluang meneroka ilmu baharu dalam bidang akuakultur, termasuk memberi makanan kepada ikan tilapia sebanyak dua kali sehari serta memantau kualiti air dalam kolam ternakan.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif AgrobankTengku Ahmad Badli Shah Raja Hussinberkata program ini adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat Agrobank untuk mendidik serta menyemai kemahiran teknologi bioflok dalam kalangan pelajarselain membantu menjana pendapatan sekolah melalui penjualan hasil ikan.