Tujuh sekeluarga jaga pak cu

lead 3

Asiah dan Mohd. Hanizam menjaga Mohd. Zaidi yang terlantar ketika ditemui di Kampung Kundur Hilir, Rembau baru-baru ini.

REMBAU – Tujuh sekeluarga bukan sahaja sanggup berkorban masa dan tenaga demi menjaga salah seorang ahlinya yang terlantar, malah berganding kudrat untuk mengangkat lelaki itu ekoran beratnya mencecah 185 kilogram (kg).

Mohd. Zaidi Talib, 51, yang lebih mesra dipanggil pak cu terlantar selepas mengalami masalah pada kedua belah kaki. Keadaannya bertambah kronik selepas terjatuh dan mempunyai nanah hingga menyebabkan punggungnya berlubang lebih 15 sentimeter sejak sebulan lalu.

Adiknya, Asiah, 61, berkata, dia akan datang melihat keadaan adiknya yang turut dijaga anak buahnya, Mohd. Hanizam Johari, 45, untuk membantu mengangkat pak cu yang tinggal di rumah ibunya, Zainab Piee, 90.

“Sebelum ini berat pak cu 200 kg. Dua hari sekali, tujuh ahli keluarga akan membantu menguruskan pak cu yang merupakan anak bongsu daripada lapan beradik.

“Bila jadi begini, Allah hendak uji kami. Alhamdulillah, semua ada bantu cuma belanja ubat-ubatan dan lampin pakai buang itu tinggi mencecah RM700,” katanya ketika ditemui di Kampung Kundur Hilir di sini.

Keluarga itu ditemui ketika menerima kunjungan wakil Majlis Agama Islam Negeri Sembilan Daerah Rembau serta wakil rak­yat setempat setelah dilaporkan terlantar.

Menurut Asiah, adiknya juga asnaf dan menerima sumbangan zakat sejak 2008, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal RM250 sebulan.

Sementara itu, Mohd. Hanizam berkata, dia kini tidak ­menganggur selepas diberhentikan sebagai cef di sebuah kedai di Singapura ketika Covid-19.

Katanya, pengalaman menguruskan bapanya yang terlantar digunakan untuk menjaga pak cu selain mengambil upah menjaga orang sakit di sekitar daerah ini.

“Belanja jaga orang sakit agak kasar selain perlu membeli madu lebah asli untuk membantu pertumbuhan daging pada bahagian punggung pak cu,” katanya.

“Selain beli ubat, kami perlu sediakan lampin pakai buang lebih banyak kerana pak cu berbadan besar. Sekali pakai kita guna tiga keping,” katanya.

Ujar Mohd. Hanizam, terdapat keperluan untuk menyediakan kemudahan meja katil hospital bagi memudahkan meletakkan makanan serta air buat bapa saudaranya itu.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun BSN Mohd. Zaidi di 0530041000101678.