Pusat servis tayar, kenderaan musnah terbakar

WhatsApp Image 2025 03 06 at 8.15.39 AM

Anggota bomba memadam kebakaran pusat servis tayar dan kenderaan di Simpang Tiga di Pekan Jeniang, di sini awal pagi ini. -Foto JBPM Kedah

SIK – Sebuah pusat servis tayar dan kenderaan di Simpang Tiga di Pekan Jeniang, di sini musnah kira-kira 90 peratus dalam kebakaran, awal pagi ini.

Turut terjejas sebuah pusat servis motosikal yang musnah 30 peratus termasuk 13 motosikal yang berada di dalam premis itu.

Komander Operasi Kanan Zon 2 Sungai Petani, Penguasa Kanan Bomba II Johari Bar Azwar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 3.18 pagi tadi.

Katanya, pusat gerakan operasi (PGO) mengarahkan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik ke lokasi kejadian dengan bantuan BBP Guar Chempedak serta pasukan bomba sukarela berdekatan.

“Setibanya di lokasi, kita mendapati kebakaran melibatkan sebuah kedai tayar dua tingkat dengan anggaran kemusnahan 95 peratus daripada keseluruhan bangunan kedai.

“Manakala sebuah kedai servis motosikal setingkat dianggarkan musnah 30 peratus dan terdapat 13 motosikal pelbagai jenis di dalam premis itu dengan setiap satu musnah kira-kira 85 peratus,”katanya di sini hari ini.

Tambahnya, kebakaran turut melibatkan dua trak angkat susun yang terbakar kira-kira 50 peratus serta dua kontena yang dianggarkan musnah 90 peratus.

“Api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 3.49 pagi dan kejadian tidak melibatkan mangsa,”ujarnya. – https://amiminerals.org/