KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan, pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang terlibat dalam penguatkuasaan aktiviti pelupusan sisa elektronik (`e-waste’) diancam oleh dalang kegiatan haram tersebut.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pegawai terbabit semasa menjalankan aktiviti penguatkuasaan menerima `video call’ daripada pihak tertentu yang menunjukkan anak mereka di sekolah.
“Isu `e-waste’ ini isu yang serius. Kita dapat maklumat ada pegawai kita tengah buat penguatkuasaan `e-waste’, mungkin kita tidak dengar `e-waste’ macam (kes) dadah atau benda lain.
“Tapi sekarang mereka (pegawai penguat kuasa) dapat `video call’ daripada tauke-tauke besar yang jadi dalang ini menunjukkan video anak mereka di sekolah. Itu menunjukkan betapa serius masalah `e-waste’ ini,”katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd. Kadir (PN-Setiu) berhubung tindakan tegas kerajaan dalam membanteras penyeludupan e-waste ke dalam negara.
Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, kerjasama baik semua pihak termasuk Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menahan banyak kontena `e-waste’ yang cuba dibawa masuk ke negara ini.
Menurut beliau, sebanyak satu kontena ditahan pada 2018, 2019 (34 kontena), 2020 (23 kontena), 2021 (11 kontena), 2022 (11 kontena), 2023 (32 kontena) dan 2024 (329 kontena)
Jelas beliau, penahanan besar pada tahun 2024 kerana Malaysia mendapat kerjasama
badan bukan kerajaan (NGO) Basel Action Network (BAN)
Kata beliau, BAN akan memaklumkan melalui e-mel sekiranya mereka mendapati terdapat kapal bergerak dari negara maju membawa `e-waste’ ke Malaysia.
“Kita juga memang berkerjasama dengan semua agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
“Jika ada mana-mana pegawai di peringkat kerajaan bersekongkol, kita tidak akan berdiam diri dan kenakan tindakan paling tinggi,”katanya. – https://amiminerals.org/