Lebih 120,000 terjejas banjir di Indonesia

Jakarta bah scaled

BANJIR yang berlaku di Rawajati, Jakarta Selatan semalam. – Foto Detikcom

JAKARTA – Beratus-ratus ribu penduduk dipindahkan dari beberapa tempat di Pulau Jawa, Indonesia termasuk Jakarta sejak semalam, selepas hujan lebat mengakibatkan banjir, lapor beberapa media tempatan hari ini.

Seramai 124,816 penduduk terjejas dengan banjir yang melanda kawasan metropolitan Jabodetabek. Ia termasuk Jakarta, Bogor, Depok, Tangerang, Bekasi selain wilayah Banten.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), hujan lebat mencetuskan banjir sedalam tiga meter di dalam dan sekitar Jakarta. Ia sekali gus menghalang beberapa jalan dan menenggelamkan lebih 1,000 rumah serta sejumlah kereta.

Tambah agensi itu, seramai 51,320 orang terjejas dalam banjir sehingga semalam akibat hujan lebat, manakala agensi tersebut terus mengumpul maklumat di kawasan yang terjejas.

Sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut, selepas hujan lebat menyebabkan air di beberapa batang sungai melimpah.

Pihak berkuasa menganggarkan cuaca buruk boleh berlarutan hingga 11 Mac ini.

Ia kemudian melakukan pembenihan awan untuk membendung hujan lebat yang menyebabkan banjir di sekitar ibu kota Jakarta, kata pegawai. – AFP/AGENSI