Ketua Jurulatih Kuching City FC (KCFC), Aidil Sharin Sahak
TEMERLOH, 5 Mac (Iteenews) — Ketua Jurulatih Kuching City FC Aidil Sharin Sahak memberikan pujian kepada skuad bimbingannya selepas berjaya menewaskan Sri Pahang FC 2-0 pada aksi tertunda Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh di sini malam tadi.
Kuching City turun dengan kelebihan satu gol hasil jaringan Yuki Tanigawa pada minit ke-14 pada 2 Nov lepas, sebelum perlawanan itu ditangguhkan berikutan keadaan padang yang ditakungi air akibat hujan.
Aidil Sharin berkata pada perlawanan yang dimulakan pada minit ke-31 itu, skuad bimbingannya sangat berdisiplin dan cemerlang melaksanakan tugas, sekali gus membolehkan mereka mengutip tiga mata berharga.
“Pada separuh masa pertama, kita sedar Sri Pahang bersemangat mahu memburu gol tetapi kami cuba menafikan usaha mereka dan nampaknya rancangan itu berjaya.
“Pada babak kedua pula, kami melakukan sedikit perubahan dengan memasukkan pemain lebih bertenaga bagi menyaingi pihak lawan yang dibarisi ramai pemain import,”katanya pada sidang media sejurus tamat perlawanan.
Aidil Sharin berkata percaturan yang dilakukan membuahkan hasil apabila pemain gantian Zahrul Nizwan Joe Kifli @ Zulkeflee berjaya meledakkan gol kedua buat pasukan itu pada masa kecederaan.
<!––>
“Zarul adalah pemain pantas yang mampu melakukan perubahan, dia sentiasa bekerja keras untuk bertahan dan agresif menyerang.
“Bagi aksi ini, saya cuma menasihatkan dia agar menikmati perlawanan dan kejayaannya mencipta jaringan adalah satu petanda yang baik buat dirinya,” katanya.
Beliau dalam pada itu mengakui kemenangan diperoleh tidak mudah kerana terpaksa berhadapan pasukan berkualiti seperti Sri Pahang dalam bulan Ramadan, selain sebelum ini bermain tiga perlawanan secara berturut-turut di tempat lawan.