Setahun bercinta, akhirnya…

WhatsApp Image 2025 03 04 at 10.23.43 AM

MOTOSIKAL mangsa yang ditinggalkan di atas Jambatan Putra di Kuantan.

KUANTAN – Dipercayai tidak dapat menerima hakikat putus cinta seorang lelaki disyaki bertindak nekad terjun ke dalam Sungai Kuantan daripada atas Jambatan Putra di sini malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, lelaki berusia 22 tahun yang memberhentikan motosikal di atas jambatan membuat panggilan video dengan seorang wanita yang dikatakan bekas kekasihnya.

Difahamkan mangsa dengan teman wanitanya menjalinkan hubungan selama setahun sebelum putus pada Disember tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, polis menerima maklumat mengenai sebuah motosikal ditinggalkan di atas jambatan dalam keadaan enjin hidup malam semalam telah bergegas ke lokasi kejadian.

“Berdasarkan siasatan, saksi terjumpa sebuah telefon bimbit di atas motosikal sedang membuat panggilan video dengan seorang perempuan.

“Saksi terus bercakap dengan perempuan tersebut yang memberitahu pemilik telefon bimbit mahu terjun ke sungai sebelum saksi terus menghubungi talian 999 untuk memaklumkan kejadian,”katanya di sini hari ini.

Menurutnya, susulan itu operasi mencari dan menyelamat telah digerakkan bermula pukul 11.30 tengah malam dengan bantuan agensi penyelamat daerah Kuantan.

Katanya, Op mencari dan menyelamat yang melibatkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) memulakan pencarian di sepanjang Sungai Kuantan. – https://amiminerals.org/