ALOR SETAR – Punca kematian wanita warga emas berusia 68 tahun yang disyaki dibunuh anak sendiri di Kampung Tok Keling, di sini kelmarin adalah akibat hentakan objek tumpul pada kepala dan lemas terhidu asap kebakaran.
Punca kematian itu diperoleh hasil proses bedah siasat ke atas mayat mangsa yang dilakukan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya turut merampas sebatang tukul besi berwarna putih, merah dan biru serta sehelai kain pelekat yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
“Jenis bahan bakar yang digunakan pula hanya dapat dipastikan setelah laporan kriminalistik diperoleh daripada Jabatan Kimia,”katanya di sini hari ini.
Katanya, kesemua barang kes terlibat dihantar ke Jabatan Kimia Kedah untuk ujian kriminalistik, manakala sampel kes dihantar ke Jabatan Kimia Pulau Pinang untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan toksikologi.
Kosmo! semalam melaporkan seorang wanita warga emas maut dalam keadaan tragis apabila mayatnya ditemukan terbakar dipercayai akibat perbuatan anak lelakinya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) mental di Kampung Tok Keling.
Pihak polis menerusi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menerima panggilan MERS999 berhubung satu kejadian mengamuk di sebuah rumah kampung di lokasi tersebut kira-kira pukul 7.48 pagi kelmarin.
Sepasukan polis diarah ke lokasi kejadian untuk tindakan awal sejurus maklumat diterima dan menahan seorang lelaki dipercayai suspek yang dikatakan mengamuk seperti dilaporkan.
Pemeriksaan lanjut polis menemui satu mayat dalam keadaan terbakar di dalam rumah dipercayai telah dibunuh.
Suspek berusia 43 tahun kemudian direman selama seminggu bermula semalam. – https://amiminerals.org/