‘Majlis Ramadan kerajaan perlu sederhana, sumbangan kotak kurma jangan berlebihan’

WhatsApp Image 2025 03 03 at 9.03.21 AM

Anwar berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan JPM di Putrajaya hari ini. – Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR

PUTRAJAYA- Majlis rasmi kerajaan bagi meraikan kedatangan Ramadan sama ada di peringkat kementerian atau jabatan perlu dilaksanakan secara sederhana dan tidak berlebihan bagi memastikan roh bulan mulia itu dihayati sebaiknya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gesaan itu disampaikan kepada kementerian dan agensi kerajaan agar tidak memewahkan acara iftar, sebaliknya berkongsi rezeki bersama masyarakat kurang bernasib baik.

“Sebab itu saya gesa kepada majlis rasmi kerajaan pada bulan Ramadan ini sama ada dikendalikan kementerian atau jabatan supaya lebih sederhana makan dan minum agar dapat menghayati roh dan semangat Ramdan.

“Saya juga perhatikan kadang jabatan dan agensi kerajaan, tentu akan memulakan dengan beri sumbangan, itu digalakkan, tetapi saya lihat kadang-kadang perkakasan itu agak berlebih, kotak sangat indah, nak isu cuma kurma.

“Kalau harga kotak lebih mahal daripada kurma, jadi bagi saya ia satu pembaziran, mahu campak ke mana (kotak yang indah),” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Susulan itu, Anwar mengingatkan kepada kementerian dan agensi kerajaan agar tidak mempamerkan kemewahan seperti pembelian kotak sumbangan mewah, sebaliknya dana itu digunakan untuk memberi lebih manfaat kepada individu memerlukan.

“Jadi, lebih baik hal ini diperhatikan, tidak perlu sangat menunjukkan kemewahan kerana dana itu boleh digunakan untuk memberi manfaat yang lebih, saya ingatkan kepada semua sebagai peringatan,” katanya. – https://amiminerals.org/