PORT DICKSON – Seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Jumaat di Lukut di sini yang terjatuh ketika memancing berhampiran laut di Medan Selera Ikan Bakar, ditemukan mati lemas hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Pegawai Kanan Penguasa Bomba Kanan Mohd. Kamal Mohd. Timar berkata, pasukan menyelamat menemukan mangsa, A Pavithran, 17, kira-kira pukul 12.28 tengah malam iaitu dalam jarak 50 meter dari tempat mangsa jatuh.
Menurutnya, pihaknya telah menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan kira-kira pukul 7.28 malam semalam dan tiba di lokasi tiga minit kemudian.
“Sebaik tiba di lokasi, mangsa dikatakan telah jatuh ke dalam laut ketika memancing. Bantuan Pasukan Penyelamat di Air dari Teluk Kemang turut ke lokasi bagi membantu pencarian.
“Sekitar pukul 9.31 malam, Komander Operasi, PBKI (KUP) Sabarudin Ahmad melaporkan anggota menaiki bot membuat pemantauan di pesisir pantai manakala anggota PPDA terdiri dua sektor membuat water surface rescue pada radius 50 meter dari pesisir pantai,”katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Mohd Kamal lagi, sekitar pukul 10.06 malam, anggota BBP PD dan unit PPDA menaiki dua buah kayak membuat pencarian permukaan pantai di sektor C dan sektor D, sebelum mangsa ditemukan.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik Kementerian Kesihatan kira-kira pukul 1 pagi dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – https://amiminerals.org/