SEREMBAN – Beberapa Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Nilai mendesak Kementerian Pengangkutan mengambil satu tindakan segera bagi menangani isu kemalangan kenderaan berat yang kerap berlaku kebelakangan ini yang turut meragut nyawa.
NGO berkenaan, terdiri Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Daerah Nilai; Pertubuhan Jaringan Komuniti Negeri Sembilan (PJKN9); Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Nilai; Pewaris Negeri Sembilan dan Pertubuhan Kebajikan Muafakat Nilai.
Pengerusi MCPF, Datuk R. Segar berkata, perkara ini bukanlah sesuatu yang baharu dibangkitkan, malahan acapkali disuarakan demi keselamatan pengguna jalan raya.
“Memang benar ‘malang tidak berbau’ tetapi kemalangan juga mampu dicegah jika segala aspek keselamatan pemanduan dan penyelenggaraan kenderaan diambil kira disamping tindakan penguatkuasaan berkala dilakukan.
“Kami tidak membantah sebarang pembangunan yang sedang dibangunkan di daerah ini, namun pergerakan lori perdagangan yang semakin bertambah mendatangkan kebimbangan ramai.
Pada Sabtu lalu, media melaporkan seorang pekerja kargo penerbangan pos maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Persiaran Negeri berhampiran lampu isyarat sebuah hospital swasta dekat Nilai di sini.
Difahamkan, kejadian pada pukul lebih kurang 6.55 pagi itu berlaku pada jarak lebih kurang 400 meter kemalangan maut yang turut menyebabkan kematian seorang juruteknik wanita dalam nahas membabitkan dua buah lori dan dua buah kereta pada 26 Februari lalu.