KUALA LUMPUR – Lebih sedekad bercinta dengan ahli perniagaan, pelakon dan penyanyi Zarina Zainoordin enggan terlalu memikirkan soal mendirikan rumah tangga kerana khuatir akan mencetuskan tekanan yang membawa kepada masalah kemurungan.
Zarina, 41, yang sememangnya mempunyai impian bergelar isteri hanya memohon doa yang baik daripada semua orang.
“Saya sudah 11 tahun bersama si dia (kekasih). Setakat ini saya tak curang memang dengan dia sahaja.
“Doakan yang terbaik, saya memang nak kahwin, siapa tak nak. Semua bekas kekasih saya pun sudah berkahwin.
“Balik raya pun semua orang dah ada anak. Cumanya, jodoh saya belum sampai. Kalau fikir sangat boleh jadi murung,”katanya kepada Kosmo! Online semasa sidang akhbar Dapur Goodday:Misi Sarimah & Tuyah VS Che Ton, baru-baru ini.
Berkongsi lanjut, bintang Akademi Fantasia musim kedua (AF2) itu pernah berdepan situasi keluarga tidak henti-henti mengajukan soalan tentang perkahwinan.
“Nasib baik mak saya tidak paksa. Ada satu masa, ketika saya tengah makan keluarga tanya bila nak kahwin terus berubah air muka saya.
“Nak makan jadi tak boleh telan, terus lari masuk kereta. Selepas kejadian, mereka tidak tanya lagi dan semakin faham, alhamdulillah,”ujarnya.
Dalam masa sama, Zarina menegaskan dia dan kekasihnya sudah berbincang hal masa depan bersama namun hanya menunggu masa tepat melangkah ke alam perkahwinan.
“Bukan tidak mahu kahwin, saya ada tunggu juga. Kami pun ada berbincang, doakan yang baik-baik.
“Apa yang penting, saya tidak mahu susahkan mak, biar ada duit sendiri.
“Saya tidak mahu tak bekerja dan pergi susahkan mak,”jelasnya.
Zarina bercinta dengan ahli perniagaan berusia 53 tahun yang berstatus duda dua anak tetapi bukan dalam kalangan orang seni.
Sebelum ini, Zarina pernah merancang untuk mendirikan rumah tangga dengan bekas pemain gitar pada 2010 tetapi hasrat tersebut terpaksa dibatalkan.
Dia juga pernah bercinta dengan beberapa pelakon lelaki namun hubungan tersebut terkandas di tengah jalan. – https://amiminerals.org/