Dua Maut Dalam Kebakaran Di Penampang

Kredit: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Sabah

PENAMPANG, 1 Mac (Iteenews) –Dua maut dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah di Kampung Limbanak di sini pada awal pagi tadi.

Berdasarkan kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, seorang wanita maut dipercayai terkena renjatan elektrik dan seorang lelaki ditemukan rentung dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu.

Menurut kenyataan berkenaan, wanita yang meninggal dunia itu dipercayai berusia 50-anmanakala identiti dan maklumat lelaki yang rentung itu sedang dikenal pasti.

“Pihak bomba menerima panggilan pada3.26 pagi dan kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal yang terbakar 100 peratus.

“Menurut orang awam, terdapat tiga penghuni di dalam rumah itu, seorang lagi mangsa masih dalam pencarian di kawasan sekitar rumah. Pasukan unit pengesan K9 digerakkan ke lokasi kejadian untuk membantu operasi yang masih berjalan,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Sementara itu di KOTA KINABALU, kira-kira50rumah setinggan jenis tidak kekal di Kampung Cempaka Likas di sini terbakar awal pagi tadi, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Menurut kenyataan, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 5.41 pagi dan 27 anggota dari Balai Bomba Lintas dan Balai Bomba Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi kejadian dan operasi pemadaman masih dilakukan.

— BERNAMA