Kerajaan fokus pembangunan ekosistem industri EV

WhatsApp Image 2024 08 12 at 4.03.54 PM e1723450078312

Anthony Loke merasmikan Program Kelestarian Alam sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Kumpulan Careplus Sempena Pemasyuran Careplus Mall dan Kilang Pemasangan di Chembong hari ini. Foto oleh MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN/ KOSMO!

REMBAU – Pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV) dengan tenaga mahir dan prasarana yang lengkap perlu diberi keutamaan oleh kerajaan bagi memantapkan industri EV di negara ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, industri EV di Malaysia berpotensi besar untuk berkembang pada masa hadapan walaupun pasarannya masih terhad berbanding China dan negara Barat.

“Memang di Malaysia kita baharu bermula, belum ada anjakan yang besar dan sekarang pembelian EV ini masih pada kadar yang rendah sebab ramai yang teragak-agak adakah mereka hendak membeli kenderaan EV atau kenderaan enjin pembakaran dalam (ICE).

“Kita juga memerlukan tenaga mahir dalam bidang automatif EV ini, selain pemasangan perlu ada yang pakar dalam memperbaiki kereta ini khususnya berkaitan bateri, mekanikal dan sebagainya termasuk aktiviti pelupusan bateri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau sebelum itu merasmikan Program Kelestarian Alam sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Kumpulan Careplus Sempena Pemasyuran Careplus Mall dan Kilang Pemasangan di tapak kilang di Chembong di sini hari ini.

Anthony berkata, dari segi ekosistem pihak Kementerian Pengangkutan sedang melihat kaedah untuk menguruskan kenderaan EV termasuk penyediaan stesen pengecasan mencukupi dan garis panduan lengkap.

“Mereka sedar akan berhadapan dengan pelbagai kekangan jika membeli EV seperti stesen pengecasan, harga jualan dan sebagainya.

“Bagaimanapun, satu persatu isu itu sedang ditangani oleh kerajaan dengan membantu pihak swasta memperbanyakkan lagi stesen pengecasan EV selain menyediakan garis panduan yang jelas daripada pihak bomba,” ujarnya.

Jelas beliau, walaupun masih baharu kementerian juga sedang mengkaji keperluan menguruskan EV yang telah digunakan selepas tempoh lapan ke 10 tahun.

Mengulas mengenai program, Anthony berkata, operasi kilang pembuatan dan pemasangan kenderaan tenaga baharu (NEV) berteknologi hijau pertama negara di kawasan perindustrian Chembong di sini dijangka siap tahun depan. – Iteenews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *