SEBERANG PERAI – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) memperkenalkan kadar baharu zakat fitrah bagi negeri berkenaan tahun ini iaitu RM10 untuk kumpulan yang makan beras putih import.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, menurut laporan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), makanan asasi utama umat Islam di negeri ini ialah beras import, maka kadar zakat fitrah yang wajib ditunaikan adalah RM10.
Menurutnya, selain itu tiga kadar lain yang ditetapkan adalah RM7, RM15 dan RM25 dan kesemuanya ditetapkan berdasarkan makanan asasi majoriti penduduk sesebuah negeri atau tempat.
“Kadar RM7 adalah bagi kumpulan yang memakan beras jenis super special tempatan lima peratus dan beras hancur manakala kadar RM15 bagi beras rebus, thai white rice dan beras perang.
“Kadar RM25 bagi pengguna yang makan beras jenis berkualiti tinggi seperti beras wangi, beras pulut, beras herba ponni, beras calrose, beras merah import dan beras basmathi.
“Walau bagaimanapun, mereka yang berkemampuan digalakkan untuk membayar zakat fitrah mengikut jenis beras yang dimakan atau memilih kadar RM15 atau RM25 bagi menyantuni lebih ramai asnaf,” katanya selepas Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah dan Sumbangan Ehya’ Ramadan di Wisma Al Ansor, Seberang Jaya di sini hari ini.
Katanya, kutipan zakat fitrah pada tahun lalu meningkat kepada RM7.33 juta berbanding RM6.83 juta pada tahun sebelumnya. – https://amiminerals.org/