SUNGAI PETANI – “Sebaik acara larian merentas desa dimulakan kami janji nak sampai ke garisan penamat sama-sama, tetapi tak sangka dia ‘pergi’ dahulu.”
Itu antara perbualan terakhir Putra Hafiz Zaidi, 16, dengan rakan sekolahnya Muhammad Haziq Uzayr Hairudin, 16, pelajar yang meninggal dunia semasa menyertai acara merentas desa di sebuah sekolah di sini semalam.
Menurut Putra Hafiz, ini kerana dia bersama rakannya itu menyasarkan untuk memperoleh pingat pada larian tersebut berikutan acara itu merupakan aktiviti sukan pertama sejak sesi persekolahan 2025 ini dibuka 12 hari lalu.
“Memang kami bersemangat dan menyasarkan untuk tiba ke garisan penamat lebih awal daripada pelajar lain, tetapi dia memecut laju meninggalkan saya di belakang.
“Bila saya sampai di garisan penamat saya nampak dia rebah tidak sedarkan diri sebelum guru bertugas dan pelajar yang merupakan ahli Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) sedang memberi rawatan kecemasan,”katanya yang ditemui di rumah Muhammad Haziq di Hill Park, Bandar Puteri Jaya (BPJ), di sini semalam.
Sementara itu, abang mangsa, Muhammad Haakimi, 22, berkata, kali terakhir bertemu adiknya yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu malam Rabu lalu.
“Saya tak perasan sebarang perubahan, sikapnya macam biasa lebih banyak diam sebelum saya terkejut menerima berita kematiannya dari bapa pagi semalam,”katanya semasa ditemui di rumahnya.
Dalam pada itu jenazah arwah dibawa pulang ke kediaman keluarga selepas selesai urusan bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar kira-kira pukul 9.45 malam tadi.
Jenazah anak kepada pasangan Hairudin Haja Maiden, 52, dan Syaripah Abd. Raof, 49, itu kemudiannya disembahyangkan di Masjid Tunku Sallehuddin Bandar Puteri Jaya sebelum dikebumikan di tanah perkuburan di pekarangan masjid itu pada pukul 10.30 malam tadi. – https://amiminerals.org/