‘Penunggu’ Gunung Lawu marah, 6 pendaki dirasuk serentak

pendaki dirasuk

Tangkap layar menunjukkan pendaki mengalami kerasukan (kiri), dan sebuah ‘check point’ dinamakan Pos Cemoro Sewu (kanan). – TikTok/Tribunnews

JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan kejadian enam pendaki Gunung Lawu dalam wilayah Jawa Tengah dirasuk serentak ketika menuruni puncak itu, lapor laman berita Tribunnews semalam.

Video tersebut menunjukkan beberapa pekerja kaunter permit mendaki sedang berusaha memulihkan mereka yang meracau-racau dan tidak sedarkan diri.

Seorang sukarelawan, Eko Supardi berkata, insiden itu berlaku pada Sabtu lalu, sekitar pukul 5.30 petang (waktu tempatan).

“Lokasi kejadian adalah di kem pangkalan,” katanya sambil menambah, seramai enam pendaki dalam kumpulan itu dirasuk ketika menuruni gunung berkenaan.

Menurut Eko, pihaknya percaya insiden itu berlaku kerana ‘penunggu’ Gunung Lawu marah dengan keadaan puncak tersebut yang kotor.

Katanya, perkara itu dibuktikan apabila sampah sarap memenuhi setiap ‘check point’ laluan pendakian ke puncak.

“Kami menemukan banyak sampah berselerakan di setiap pos laluan pendakian.

“Justeru, kami mengingatkan para pendaki agar menjaga kebersihan serta jangan membuang sampah sembarangan ketika mendaki,” katanya.

Tambah Eko, keenam-enam pendaki tersebut akhirnya berjaya dipulihkan oleh dua kakitangan. – AGENSI