ALOR GAJAH – Seorang warga emas hiba mengenangkan nasib anak sulung lelakinya yang sedang melakukan rawatan dialisis terpaksa berendam dalam bah apabila kediaman mereka di Taman Seri Bayu dekat sini tiba-tiba dinaiki air banjir, petang semalam.
Menurut Junaida Othman, 60, ketika kejadian dia tidak berada di rumah dan telah dihubungi oleh anaknya berusia 39 tahun itu memaklumkan kediaman mereka telah digenangi air pada paras lutut.
Katanya, dia kemudian bergegas pulang sebelum mendapati anaknya sedang berendam di dalam bah dalam keadaan melakukan dialisis kerana rawatan tersebut tidak boleh dihentikan serta-merta.
“Sedih mengenangkan nasib kami yang mengharungi isu sama banjir kilat di kawasan ini, apatah lagi semalam pula kejadian berlaku ketika anak sulung sedang melakukan rawatan dialisis.
“Dia beritahu air naik dengan sangat cepat dan terpaksa berendam di dalam bah kerana rawatan itu tidak boleh terus dihentikan,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Ar-Rasyidin, dekat sini.
Sementara itu, seorang pesara Razali Ismail, 63, meluahkan rasa kecewa terhadap pentadbiran kerajaan negeri selepas terpaksa mengharungi masalah sama kediaman ditenggelami banjir kilat yang didakwa dihadapinya sejak 1990-an lagi.
Katanya, dia kini tidak lagi mempunyai kekuatan untuk memindahkan barangan di dalam rumah setiap kali banjir melanda disebabkan menghidapi pelbagai masalah kesihatan.
“Saya ni ada penyakit buah pinggang, jantung dan gout. Dari anak-anak kecil sampai dah bercucu masalah yang sama juga rumah dilanda banjir kilat.
“Ada yang naik sehingga paras pinggang, kali ni sehingga lutut, saya hanya mampu melihat perabot dan perkakas elektronik rosak ditenggelami bah sekiranya ahli keluarga lain tiada di rumah sewaktu bencana berlaku,” katanya.
Kosmo! hari ini melaporkan jumlah mangsa bencana banjir kilat di daerah Alor Gajah terus meningkat kepada 416 orang yang telah dipindahkan ke tujuh PPS, sejak petang semalam.
Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka, Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, sebanyak 23 lokasi di daerah ini terjejas selepas dinaiki air dari paras betis sehingga pinggang susulan hujan lebat berterusan lebih tiga jam, pagi semalam.
Katanya, pukul 12.30 tengah hari tadi, seramai 123 buah keluarga telah dipindahkan ke PPS dan jumlah itu meningkat berbanding 109 buah keluarga, pukul 9 pagi tadi.
Tambahnya, PPS terlibat adalah Balairaya Paya Lebar, Perkim Masjid Tanah, Balairaya Kampung Ramuan China Besar, Balairaya Ayer Pa’abas, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Jernih, Sekolah Rendah Agama JAIM Ar- Rasyidin, Japerun Kuala Linggi, Japerun Ayer Limau dan SK Jeram. -Iteenews.