19 mati tertimbus sampah

Uganda mati

SEBUAH tapak pelupusan sampah runtuh di Kampala, Sabtu lalu. – Foto AFP

KAMPALA, Uganda –  Angka kematian bencana bukit sampah runtuh di sebuah tapak pelupusan di ibu negara Uganda, Kampala meningkat kepada 19 orang semalam, lapor portal berita Wion News.

Hujan lebat mengakibatkan tapak pelupusan sampah Kiteezi itu runtuh dan menimbus kediaman, haiwan ternakan dan manusia pada Sabtu lalu.

Bercakap kepada AFP, wakil penduduk setempat, Yasin Ndide berkata, seramai 19 orang termasuk lima kanak-kanak disahkan meninggal dunia.

“Misi menyelamat sedang berjalan tetapi harapan untuk menemui  lebih ramai mangsa terselamat semakin tipis,” katanya.

Terdahulu, jurucakap polis metropolitan Kampala, Patrick Onyango memberitahu bahawa mereka telah mengeluarkan 12 mayat dari bawah timbunan sampah dan menyelamatkan 14 mangsa lain.

“Operasi menyelamat masih diteruskan sehingga kita pasti tiada sesiapa lagi terperangkap di bawah (timbunan sampah),” katanya. 

Onyango mendedahkan bahawa mereka turut menyelamatkan sejumlah haiwan termasuk seekor anjing.

Katanya, mengikut anggaran pihak berkuasa, kira-kira 1,000 orang hilang  tempat tinggal dalam bencana itu.

Polis kini bekerjasama dengan agensi kerajaan dan kepimpinan masyarakat lain untuk cuba cara membantu mangsa yang terjejas, katanya.

Bandar Kampala,  Erias Lukwago menyifatkan tapak pelupusan sampah itu sebagai bencana yang menunggu untuk berlaku. 

Katanya, tapak pelupusan seluas 14 hektar di daerah utara ibu kota Kampala itu sarat dengan sampah sarap. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *