TFC, Kuching City Seri 2-2 Di SSMZA

Pemain Terengganu FC (TFC) Akhyar Rashid (dua, kanan) diasak oleh pemain Kuching City FC pada saingan Liga Super Malaysia 2024/2025 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. Tendangan pemain Terengganu FC (TFC) Muhammad Azam Azmi Murad (dua, kiri) ditampan oleh pemain Kuching City FC Yuki Tanigawa pada saingan Liga Super Malaysia 2024/2025 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. Pemain Sabah FC Darren Lok (tiga, kiri) dikawal ketat pemain pertahanan Kuala Lumpur City FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas. Pemain Sabah FC Miguel Angel (kiri) bersaing dengan pemain Kuala Lumpur City FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas.

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Iteenews) –Terengganu FC (TFC) terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas diikat 2-2 oleh Kuching City FC dalam aksi Liga Super 2024/2025 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam ini.

Tuan rumah memulakan perlawanan dengan garang apabila Manuel Ott meledak gol pembukaan seawal minit kesembilan menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti, sekali gus mengejutkan pasukan pelawat.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad kendalian Aidil Shahrin Sahak segera mengatur serangan balas dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-16, namun rembatan James Okwuosa tersasar ke sebelah kanan gawang.

TFC yang mendahului 1-0 terus menggandakan asakan dan berpeluang menambah jaringan pada minit ke-21, tetapi sepakan lemah Muhammad Syahmi Zamri mudah diselamatkan penjaga gol The Cats, Wan Muhammad Azraie Wan Teh.

Muhammad Syahmi sekali lagi berpeluang mencetak nama sebagai penjaring, namun dua peluang keemasan pada minit ke-44 dan ke-45 gagal dimanfaatkan.

Tuan rumah kembali menceriakan penyokong apabila Ismaheel Akinade menambah gol kedua pada minit ke-61, melebarkan kelebihan TFC kepada 2-0.

<!––>

Bagaimanapun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Jordan Mintah merapatkan jurang dengan gol pertama Kuching City FC pada minit ke-64, sebelum Petrus Shitembi menyamakan kedudukan hanya dua minit kemudian.

Sementara itu, Sabah FC turut mengalami nasib sama apabila gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri selepas diikat 1-1 oleh Kuala Lumpur City FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Tuan rumah kendalian Martin Santo tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila S. Kumaahran menanduk masuk bola deras dari dalam kotak penalti, menewaskan penjaga gol pelawat, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, seawal minit ketujuh.