Azizulhasni masih ada \’api\’ ke LA2028

Jijoe

AZIZULHASNI

JAGUH berbasikal trek kebangsaan, Datuk Azizulhasni Awang secara peribadinya masih memiliki hasrat untuk meneruskan karier sehingga ke temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).

Biarpun bakal berusia 40 tahun pada kitaran Olimpik seterusnya, namun bekas juara dunia itu percaya dengan kemampuan untuk mengekalkan tahap kecergasan kerana yakin caranya menjaga keadaan fizikal.

Bagaimanapun, pelumba yang lebih mesra dipanggil Jijoe itu menjelaskan bahawa dia sudah berjanji dengan keluarganya bahawa Olimpik Paris 2024 adalah aksi kompetitif terakhirnya.

Azizulhasni juga memberi gambaran dia mungkin membuat pertimbangan untuk terus berkayuh sehingga LA2028 sekiranya mendapat keizinan daripada keluarga bagi meneruskan karier sebagai pelumba profesional.

“Secara jujur, sekiranya saya nak pergi ke LA2028, sudah tentu boleh walaupun ketika itu berusia 40 tahun kerana saya menjaga badan dengan cukup baik. Saya tahu apa yang perlu dilakukan.

“Sudah tentu perjalanan tersebut sukar tetapi saya boleh buat ia berlaku tetapi selepas pembedahan itu, emak, isteri dan anak-anak memaksa saya untuk bersara dan menyebabkan saya berjanji Paris adalah yang terakhir.

“Kalau mereka izinkan (ke LA2028), tidak tahulah… tetapi buat masa ini saya rasa seperti sudah terlalu lama dalam (sukan) ini, berlumba, bebanan dan tekanan,” kata atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu.

Hasrat The Pocket Rocketman menghadiahkan emas Olimpik pertama negara lebur apabila tersingkir daripada saringan pertama keirin selepas penyertaannya dibatalkan kerana didakwa memintas pacer terlalu awal pada aksi di Velodrom Saint Quentin en Yvelines, Sabtu lalu.

Dalam masa sama, dia juga menyuarakan hasrat mahu memanfaatkan pengalaman serta pengetahuan dimiliki bagi membantu generasi muda kerana semangatnya sentiasa ada untuk arena sukan negara.

“Saya fikir sudah tiba masanya untuk membantu generasi seterusnya tidak kiralah dalam sukan apa sekalipun. Walaupun masih ada ‘api’ untuk teruskan tetapi ada satu masa, anda perlu berundur,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *