Untung Bersih Suku Ketiga AmBank Group Susut Kepada RM486.49 Juta

536661fc6db42cfc019d99f569c3aa47664357e48bed2

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Iteenews) — AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM486.49 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Dis 2024, susut daripada RM543.41 juta pada tahun sebelumnya.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, katanya penurunan ini terutamanya berikutan pendapatan rendah daripada perbankan Islam dan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, perolehan meningkat kepada RM1.24 bilion berbanding RM1.15 bilion, katanya.

Bagi sembilan bulan terkumpul tahun kewangan 2025, keuntungan bersih meningkat kepada RM1.49 bilion berbanding RM1.39 bilion manakala perolehan naik kepada RM3.65 bilion berbanding RM3.48 bilion.

Menurut AmBank Group pendapatan faedah bersih menokok 7.8 peratus tahun ke tahun kepada RM2.67 bilion, dipacu oleh pengembangan margin faedah bersih sebanyak 15 mata asas kepada 1.94 peratus dan pertumbuhan pinjaman dan pembiayaan 4.4 peratus.

Pendapatan bukan faedah menurun 2.3 peratus tahun ke tahun kepada RM972.6 juta, terutamanya berikutan ketiadaan keuntungan penjualan sekali sahaja daripada AmGeneral Insurance Bhd pada sembilan bulan pertama tahun kewangan 2024 dan keuntungan penjualan yang lebih rendah daripada Kumpulan Perbendaharaan dan Pasaran.

Ini sebahagiannya diimbangi oleh pendapatan fi yang lebih tinggi daripada perbankan perniagaan, pengurusan kekayaan dan perbankan pelaburan.

AmBank Group berkata pinjaman kasar, pendahuluan dan pembiayaan meningkat 4.4 peratus kepada RM137.1 bilion, didorong oleh pertumbuhan 15.2 peratus dalam pinjaman perbankan perniagaan.

Pendapatan asas sesaham meningkat 6.9 peratus kepada 44.99 sen manakala aset bersih sesaham menokok 28 sen kepada RM6.07.