TUMPAT – Cubaan lima lelaki untuk menyeludup 88,000 biji kelapa yang dianggar bernilai hampir RM2 juta di dalam dua buah treler tidak berhasil apabila mereka dicekup di stor Che Soh, Kampung Pulau Ular dekat sini kelmarin.
Kelima-lima lelaki berusia dalam lingkungan 26 hingga 43 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari semasa berada di kawasan stor tersebut.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pihaknya mengesan kegiatan penyeludupan kelapa di stor itu semasa menjalankan tugas menerusi Op Taring Wawasan.
Menurutnya, lima orang lelaki warga tempatan ditahan dan dua buah treler yang disyaki digunakan untuk menyeludup kelapa turut dirampas.
“Pemeriksaan mendapati kesemua kelapa itu tiada sebarang dokumen dan lesen pembelian kelapa yang sah serta dipercayai akan diseludup ke Thailand,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kelima-lima suspek itu dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup kelapa tersebut ke Thailand.
Menurutnya, anggaran keseluruh nilai rampasan keseluruhan termasuk dua buah treler yang dirampas dianggarkan berjumlah RM2.13 juta.
“Kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Tambah Nik Ros Azhan, kes disiasat mengikut Akta FAMA 1965. – https://amiminerals.org/