Propaganda Politik Guna AI Cabaran Besar PBB – Abang Johari

63b817731c2c60bb2e06ae6957b9e91467b054e3a0cc0Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama ahli-ahli PBB ketika memotong kek perasmian pada Majlis Perhimpunan Agung ke-16 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, hari ini.

KUCHING, 15 Feb (Iteenews) — Propaganda politik menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) menjadi cabaran besar kepada kepimpinan masa depan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), kata Presiden parti Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata bagi menghadapi cabaran berkenaan, ia menuntut kepimpinan parti untuk melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi yang mampu bertindak menangani propaganda sedemikian.

“Saya takut AI digunakan oleh orang dalam politik untuk membuat propaganda. Manusia ini kadang-kadang disebabkan nafsu akan menggunakan apa-apa cara untuk mendapat tempat (kuasa).

“Peranan teknologi AI menjadi cabaran kerana masa depan semua kegiatan ekonomi dan sosial akan bergantung kesalinghubungan dan teknologi,“ katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung PBB ke-16 di sini hari ini.

Sebagai tulang belakang Gabungan Parti Sarawak (GPS), Abang Johari berkata kepimpinan masa depan PBB perlu bersatu untuk mengekalkan budaya memahami, saling menghormati dan mempercayai antara sesama komponen dalam mendepani cabaran dihadapi.

Beliau berkata budaya ini sudah lama terbentuk dalam PBB sejak penubuhannya pada 1973 dan dikongsikan dengan rakan-rakan partinya yang lain dalam GPS.

“Saya menjadi Premier, saya kongsi dengan semua rakan dalam Kabinet. Saya tidak buat keputusan seorang diri,” katanya.