KUALA LUMPUR, 14 Feb(Iteenews) –Bursa Malaysia Securities Bhd membuat teguran secara terbuka terhadap Iqzan Holding Bhd dan lima pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama.
Dalam satu kenyataan hari ini, Bursa Malaysia Securities berkata syarikat itu telah melakukan pelbagai pelanggaran, termasuk gagal mendapatkan kelulusan pemegang saham untuk pelupusan hartanah perindustrian dan menyediakan pendedahan yang tidak tepat serta mengelirukan berhubung penjualan saham dalam anak syarikat milik penuhnya, Zoomic Technology (M) Sdn Bhd (ZTSB).
“Pelanggaran itumelibatkan pelupusan hartanah yang tidak mengikut peraturan di mana syarikat gagal mendapatkan kelulusan daripadapemegang saham untuk penjualan dua lot perindustrian pegangan pajakan yang bersebelahan di Bayan Lepas, Pulau Pinang yang dimuktamadkanpada 15 Nov, 2023.
“Selain itu, Iqzan Holding telah secara tidak tepat menerangkan kesan kewangan dan nisbah peratusan pelupusan saham ZTSB dalam pengumuman bertarikh 8 Ogos dan 10 Ogos, 2023.
"Ia juga gagal mendedahkan perjanjian bersyarat yang menjejaskan urus niaga dengan serta-merta dan tidak membuat pengumuman tepat pada masanya apabila memindahkan saham pada 15 Ogos, 2023," katanya.
Bursa itu berkata walaupun telah dinyahsenarai pada 30 Julai, 2024, pelanggaran berkenaan berlaku semasa syarikat itu masih disenaraikan di Bursa Malaysia Securities.
Ia jugatelah mengenakan denda antara RM300,000 hingga RM375,000 ke atas lima pengarah, yang mana Norman Zainuddin (pengarah eksekutif), Datuk Ong Chek Chai (pengarah bukan bebas bukan eksekutif, ahli jawatankuasa audit), dan Chua Yeong Lin (pengarah bukan eksekutif bebas, pengerusi jawatankuasa audit) masing-masing dikenakan denda sebanyak RM375,000.
Semantara itu,Kunamony S Kandiah (pengarah bukan eksekutif bebas, ahli jawatankuasa audit) dan Cheah Ban Seng (pengarah bukan eksekutif bebas) masing-masing didenda RM300,000.
Bursa Malaysia Securities berkata penemuan pelanggaran dan pengenaan penalti dibuat di bawah perenggan 16.19 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama setelah selesai proses sewajarnya dan selepas mengambil kira semua fakta mengenai kepentingan dan kesan pelanggaran, serta tingkah laku dan tanggungjawab para pengarah.