Lelaki jual sut terbang RM130 juta

sut terbang

Browning menunjukkan demonstrasi penggunaan sut terbang semasa satu persidangan tentera pada 2021. – PA

LONDON – Seorang pereka sut terbang dari United Kingdom (UK) menyatakan bahawa syarikat diasaskannya, Gravity Industries akan memeterai perjanjian bernilai £24 juta (RM130 juta) dengan pasukan khas tentera, lapor akhbar Metro UK.

Richard Browning menghasilkan sut terbang membolehkan pemakai terbang lebih 600 meter di ruang udara dengan kelajuan mencecah 136 kilometer sejam.

Browning berkata, dua pasukan tentera yang bersekutu dengan UK akan menandatangani kontrak bersama Gravity Industries.

“Kami membina sesuatu yang kelihatan seperti dalam filem keluaran Marvel dan ia nampak hebat. Siapa sangka, sut terbang boleh menjadi perniagaan antarabangsa yang serius serta memacu eksport,” katanya kepada akhbar The Sunday Times.

“Kami dalam proses menandatangani beberapa perjanjian dengan dua sekutu Barat, khususnya untuk mobiliti marin. Ia bagi membolehkan pasukan khas mendapatkan sasaran maritim dengan pantas,” katanya.

Sut terbang rekaan Browning memegang rekod kelajuan dunia bagi pek penerbangan. – AGENSI