PETALING JAYA – Semakin terbuka, aktres Erra Fazira tidak lagi menyembunyikan keakraban hubungannya dengan usahawan, Ezwan Zain.
Keterbukaan itu ditunjukkan Ezwan atau dikenali sebagai Mr. E yang berkongsi momen mereka bersama beberapa sahabat lain beriadah menikmati keindahan alam semula jadi di sebuah kawasan rekreasi.
Menerusi hantaran di Insta Story milik Mr. E atau Ezwan Zain, 44, kelihatan dia dan Primadona Filem Melayu Alaf Baharu itu berbual mesra sambil ditemani suasana damai.
Dalam perkongsian tersebut, Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek dan Ezwan tampak mesra menghabiskan masa bersama-sama.
Lebih mencetuskan keterujaan peminat apabila pengusaha kafe itu turut menyertakan muzik latar lagu Selalu Bahagia, Ya, seolah-olah menggambarkan kebahagiaan hubungan mereka.
Terdahulu, tindakan Ezwan memuat naik ucapan istimewa sempena ulang tahun kelahiran Erra pada 9 Februari lalu mencetuskan spekulasi berkenaan keintiman mereka.
Dalam ucapan romantiknya, lelaki berstatus duda itu secara terang-terangan meluahkan rasa cinta serta doa tulus buat wanita terbabit.
“Andai bumi terbelah, aku tetap cinta padamu. Selamat ulang tahun buat kamu yang mempersonakan.
“Semoga tahun ini menjadikan dirimu seorang insan lebih baik dan diberi kebahagiaan hingga akhir hayat,” tulisnya.
Ucapan sarat luahan kasih sayang itu mencetuskan spekulasi bahawa hubungan mereka semakin di tahap serius.
Namun, sebelum ini Erra memohon semua pihak agar memberi ruang kepada mereka untuk mengenal hati budi masing-masing.
“Saya hanya meminta doa daripada semua agar urusan ini dipermudahkan. Biarlah kami melalui fasa ini tanpa tekanan,” kata Erra dalam satu kenyataan sebelum ini.
Begitupun, rata-rata peminat memberi restu hubungan Erra dan Mr. E, malah ada yang mendoakan agar mereka disatukan sebagai pasangan hidup.
“Semoga bahagia selalu dan bertemu jodoh yang terbaik,” komen seorang peminat.
Buat masa ini, baik Erra mahupun Mr. E belum mengesahkan status mereka, tetapi keakraban jelas terpancar dalam setiap perkongsian mereka dalam media sosial. – https://amiminerals.org/