KONSERT Hori2ontal menjadi saksi pengaruh kumpulan 6ixth Sense selama 20 tahun dalam industri muzik masih ampuh apabila segenap ruang di Zepp Kuala Lumpur sesak dengan peminat mereka.
Seramai 2,500 peminat membanjiri tapak konsert demi memberi sokongan kepada 6ixth Sense yang dianggotai Adi Priyo Sambodo selaku vokalis, Mohd. Faiz Azizi (Gjie) dan Shahrul Effendy (Athan) di posisi gitar, Muhamad Fairos (Ayoy) pemain bass, serta Safwan Hasnan (Wan) sebagai pemain dram.
Konsert yang diadakan sempena ulang tahun ke-20 6ixth Sense mengimbas segala nostalgia perjalanan muzik dan kehidupan mereka begitu juga peminat yang membesar dengan rangkaian lagu kumpulan itu sejak 2005.
“Sudah 20 tahun berlalu, saya masih ingat ketika mula-mula datang ke Malaysia untuk menjadi vokalis 6ixth Sense, semuanya terasa asing. Ketika itu, mereka bermain muzik tidak sehandal sekarang.
“Ada masa jatuh bangun, semuanya telah kami rasai dan tanpa sokongan kalian (peminat) kami tidak akan berdiri sejauh ini. Selepas dua dekad kami masih bersama. Jika hendak dinilai tentang persembahan, ini adalah persembahan berskala besar pertama 6ixth Sense selepas konsert sulung kami di Panggung Asia pada 2022,” ujar Adi yang berasal dari Jember, Indonesia.
Perkara sama turut diakui Gjie sambil mengimbas kenangan sewaktu mereka disatukan sebagai sebuah kumpulan.
“Saya masih ingat, waktu itu kami menantikan kemunculan vokalis, Adi turun dari kapal terbang dengan mengenakan sut hitam tetapi berselipar Jepun (ketawa). Dalam hati kami semua biar betul, dia mahu jadi vokalis kami. Tiada langsung stail seorang vokalis.
“Alhamdulillah, kami bertahan dan kekal bukan sahaja sebagai ahli kumpulan tetapi sahabat dan keluarga sehingga ke hari ini. Diharap perjalanan kami masih lagi panjang dan konsert ini akan membuka kepada lebih banyak konsert lain selepas ini,” ujar Gjie.
Nostalgia
Menyentuh persembahan, 6ixth Sense membuka tirai dengan lagu Hikayat Cinta. Alunan gitar dan vokal bertenaga Adi memenuhi ruang sekali gus memberi isyarat bahawa malam itu akan menjadi sesuatu yang luar biasa.
Peminat kemudian terus larut dengan lagu Tremendous, Semanis Cinta dan Berjanjilah, membuktikan bahawa setiap bait lirik yang disampaikan masih dekat di hati pendengar apatah lagi kebanyakan lagu 6ixth Sense menjadi runut bunyi drama mahupun pun filem.
Suasana bertukar santai menerusi segmen akustik apabila mereka mendendangkan lagu ‘berhantu’ iaitu Tanpa, Maafkan Ku dan Flower. Paling menyentuh emosi apabila Adi mengalunkan ‘killer song,’ Khatimah Cinta.
Tanpa perlu disuruh, peminat dengan rela menjadi penyanyi latar sehingga lagu terakhir. Meski selepas 16 tahun, aura lagu Khatimah Cinta ciptaan sepenuhnya band itu masih kuat melekat di hati peminat. melekat dalam hati peminat.
Secara keseluruhan sebanyak 23 lagu dimainkan sepanjang konsert berlangsung termasuk Menyesal, Pemilik Hati, Sepi, Tidak Bisa Memilihmu, 7 Kali Malam Minggu, Yang Sempurnakan Ku dan di akhiri dengan Hari Ini Dan Semalam.
Sepanjang konsert itu dapat dilihat evolusi muzik 6ixth Sense berkembang menjadi sebuah kumpulan yang solid dan memiliki identiti sendiri iaitu terkenal dengan lagu-lagu galau.
“Tanpa sokongan peminat, tiadalah kami di sini dan tiadalah 6ixth Sense hari ini. Terima kasih kepada kalian yang tidak pernah berhenti menyokong kami sejak hari pertama sehinggalah kini sudah 20 tahun,” kata Adi kepada peminat.
Sejujurnya, 6ixth Sense harus berbangga dengan pencapaian mereka hari ini yang bukan sahaja memiliki peminat setia tetapi berdiri sebagai antara nama besar di Malaysia. Konsert Hori2ontal ini bukti bahawa 6ixth Sense bukan sahaja masih relevan tetapi peminat masih dahagakan sesuatu yang baharu daripada mereka.