Terlantar, hanya mampu ge­rak hujung jari kaki

lantar

ADNAN menjaga anaknya ketika dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di Temerloh.

JERANTUT – Sepasang suami isteri bukan sahaja sedih dengan nasib anak lelaki mereka yang terlantar hampir enam bulan akibat kemalangan, malah buntu memikirkan kos bagi meneruskan rawatan dan penjagaan anak kelapan daripada sembilan bera­dik itu.

Adnan Ali, 61, berkata, anak­nya, Muhamad Bahaman, 16, kini masih terlantar berikutan cedera parah pada bahagian kepala selepas terbabit kemalangan pada September tahun lalu.

“Anak saya juga mengalami patah tulang paha kanan, patah tangan kiri serta mengalami kecederaan teruk pada bahagian paru-paru dan usus menyebabkan dia tidak sedar dan cuma kadang-kadang mampu mengge­rakkan hujung jari kaki.

“Selepas kejadian dia dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh dan doktor mengesahkan kecederaan parah bahagian kepala serta terus tinggal di wad mendapatkan rawatan selama sebulan,”katanya di Felda Kota Gelanggi Dua dekat sini kelmarin.

Beliau berkata, dia sudah ber­belanja hampir RM7,000 untuk berulang alik ke hospital, membeli susu khas, membeli peralatan tiub saluran makanan dan penginapan semasa menunggu anak mendapatkan rawatan.

Katanya, dia mem­belanjakan lebih RM1,000 sebulan untuk membeli susu khas anaknya termasuk lampin pakai buang.

Menurut Adnan, dia dan isteri, Siti Mariam Mohd. Zain, 51, bergilir-gilir menjaga anak mereka di wad hospital dalam tempoh ra­watan sehingga dibenarkan pulang Oktober
tahun lalu.

Katanya, dia kini bergantung kepada penda Patan isteri yang berniaga nasi lemak serta ihsan adik-beradik.

Katanya, dia masih menunggu bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang sudah pun lulus dan dia menerima bantuan Majlis Ugama Islam dan Adab Resam Melayu Pahang (Muip) bernilai RM500 sebulan.

Orang ramai dan yang ingin membantu boleh menghubungi Adnan di talian 013-7447960 atau 011-23603200 (Siti Mariam), selain menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0699541100134865 (Siti Mariam Mohd. Zain).