PETALING JAYA – Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) menerima sebanyak 58 laporan berkaitan skim pelaburan mesin layan diri membabitkan kerugian lebih RM6.78 juta.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, skim pelaburan tersebut dianjurkan oleh sebuah syarikat.
Siasatan awal mendapati, syarikat itu menawarkan beberapa pakej pelaburan dengan keuntungan berbeza mengikut pakej yang disertai.
“Bagaimanapun, keuntungan itu gagal dibayar dan kebanyakan pelabur tidak mengetahui sama ada mesin layan diri tersebut benar-benar wujud atau sebaliknya.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramli berkata, keputusan menyertai mana-mana skim pelaburan khusunya pelaburan berkaitan perkongsian perniagaan seperti mesin layan diri hendaklah dibuat dengan berhati-hati.
Malah katanya, orang ramai perlu melakukan semakan tentang kewujudan mesin yang didakwa, sahkan lokasi mesin tersebut diletakkan.
“Sebaiknya terlibatlah secara langsung dalam perniagaan tersebut dan tidak hanya meletakkan kepercayaan kepada pihak ketiga yang tidak dikenali.
“Seandainya, berlaku kejadian di luar jangka seperti penipuan, individu yang terkesan boleh membuat aduan kepada agensi penguatkuasa berkaitan seperti PDRM, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan juga Bank Negara Malaysia,”ujarnya.
Terdahulu, media semalam melaporkan, seramai 54 individu dipercayai menjadi mangsa penipuan skim pelaburan pembelian mesin layan diri melibatkan kerugian mencecah RM5.2 juta.
Setiausaha Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, berkata mangsa pelaburan dari seluruh negara sudah membuat laporan polis dan aduan kepada pihaknya.
Menurutnya, syarikat berpangkalan di Johor itu dikatakan mempunyai cawangan di Selangor, Melaka dan Pulau Pinang yang dikesan mengiklankan skim pelaburan mesin layan diri snek dan minuman melalui pelbagai platform termasuk media sosial. – https://amiminerals.org/.