BRASILIA – Seorang pakar aviasi penerbangan mendedahkan kemungkinan besar punca pesawat penumpang Brazil mengalami ‘lingkaran maut’ sebelum terhempas dalam nahas ngeri semalam, lapor MailOnline.
Video dramatik dari tempat kejadian menunjukkan pesawat jenis ATR 72-500 milik syarikat penerbangan Voepass itu menjunam dari langit dalam keadaan berputar.
Kapal terbang itu jatuh di belakang rimbunan pokok berhampiran sebuah rumah, diikuti oleh kepulan asap hitam menyelubungi ruang udara.
Kesemua 61 penumpang dan krunya terkorban.
Pakar aviasi berkenaan, Kapten Ross Aimer yang mempunyai lebih 40 tahun pengalaman menerbangkan pesawat penumpang di Amerika Syarikat memberitahu MailOnline bahawa penerbangan tragis itu mungkin mengalami kegagalan enjin, kerosakan kawalan penerbangan, atau bahagian kritikal pesawat seperti sayap terjatuh.
“Dan sebaik sahaja anda mengalami ‘lingkaran maut’ ini, adalah sangat sukar untuk keluar daripadanya,” kata Aimer.
Pesawat itu dalam perjalanan dari Cascavel menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Guarulhos di Sao Paulo apabila menjunam secara mengejut.
Aimer berkata, kemungkinan besar punca nahas ialah pesawat itu mengalami pegun di ruang udara akibat kelajuan rendah.
Masalah itu disebabkan aliran udara di atas sayap menjadi terlalu perlahan untuk menyediakan daya angkat mencukupi, terutamanya jika pesawat bergerak terlalu perlahan.
Tiga sebab mengapa ia berlaku adalah sama ada kesilapan teknikal, pergolakan udara melampau, kesilapan juruterbang atau sesuatu yang mengenai sayap, contohnya burung.
Penerbangan 1549 milik US Airways terpaksa mendarat cemas di Sungai Hudson selepas sekawan burung melanggar sayapnya sejurus selepas berlepas pada ketinggian lebih 213 meter. – AGENSI