Wanita bongkar cerita kekasih miliki pistol lepas bergaduh

WhatsApp Image 2025 02 10 at 9.24.48 PM

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang peniaga ditahan selepas teman wanitanya menyerahkan bungkusan plastik mengandungi sepucuk pistol bersama 30 butir peluru kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, sebelum penahanan dibuat, lelaki tempatan itu dipercayai telah bergaduh dengan teman wanitanya di sebuah unit kondominium di Taman Cempaka, Ampang kira-kira pukul 4.10 petang.

Susulan kejadian itu, sepasukan polis telah ke kondominum terbabit dan telah bertemu dengan wanita yang juga warga Filipina.

“Wanita terbabit telah memaklumkan kepada pihak polis bahawa suspek memiliki sepucuk pistol dan menyerahkan sebungkus plastik berwarna biru.

“Pemeriksaan lanjut di dalam plastik tersebut telah menemui sepucuk pistol bersama 30 butir peluru 9mm. Rampasan dan tangkapan telah di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya untuk siasatan lanjut,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Azam berkata, punca pergaduhan terbabit kerana pengadu cemburu dengan suspek yang telah menjalinkan hubungan dengan seorang wanita lain.

“Motif pemilikan senjata oleh suspek masih lagi dalam siasatan. Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau dan kedua-duanya negatif dadah.

“Permohonan reman ke atas suspek di Mahkamah Majistret Ampng Jaya telah dibenarkan selama empat hari bermula semalam manakala wanita terbabit dibebaskan dengan jaminan polis,”katanya

Kes disiasat mengikut Seksyen Akta Senjata 1960, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya. – https://amiminerals.org/